Wednesday, July 1, 2009

Salasilah Kg Senor

Gambar dipinjam dari The Malaysian Star

Kampung Sena atau lebih seru dipanggil Kampung Senor oleh penduduk setempat merupakan sebuah perkampungan melayu di dalam daerah Meranti di bawah jajahan Pasir Mas. Kampung unik ini letaknya 10 km dari bandar Pasir Mas, 45 km dari Bandar Kota Bharu dan lebih kurang 500 km dari Kuala Lumpur.

Sena berasal dari nama pokok sena/angsana (Pterocarpus indicus), sejenis tumbuhan asal Malaysia dan ASEAN. Ia juga dikenali sebagai pokok Narra di Filipina, pokok Sonokembang di Indonesia, pokok Tnug di Kemboja, dan pokok Pradu di Thailand. Sejenis pokok berkayu yang sangat berkualiti untuk balak. Bunganya berwarna kuning keemasan dan lebat indah. Saat-saat musim bunga, keseluruhan pokok akan dilitupi oleh bunga-bunga kuning yang cantik dan berbau wangi. Buahnya berbentuk pipih berkipas, memudahkan penyebaran biji benih oleh angin dan unggas.

Gambar hamparan bunga Sena yang gugur
(dipinjam sementara mendapat gambar sendiri)


Pokok ini berkayu keras, berwarna jingga kemerahan, tahan lasak dan berbau harum seperti bunga mawar. Kayu ini dikenali di Indonesia sebagai amboyna sempena Ambon, di mana kebanyakan pokok ini ditemui. Di Indonesia kayu Sena dipotong nipis sebagai lapis veneer, bagi menghasilkan perabut. Bunganya pula sering digunakan sebagai sumber madu sementara rebusan daun digunakan sebagai syampo. Kedua bunga dan daun dikatakan boleh dimakan. Sementara di Malaysia, getah dari kulit Sena digunakan bagi menyembuhkan ulser dalam mulut. Kulit dan akarnya juga direbus bagi menyembuhkan demam panas.

Menurut seorang penduduk asal kelahiran kampung ini yang bernama Hajah Yam Hj. Awang, yang diceritakan secara lisan kepada kami, nama kampung Sena terwujud apabila pada zaman dahulu kala ada seorang hamba Allah yang menanam pokok ini secara terbalik. Yakni bahagian pangkal ke atas dan bahagian hujung pucuk di dalam tanah. Anehnya pokok tersebut bertumbuh dengan sihat dan subur. Maka kampung ini dengan secara rasminya telah dinamakan Kampung Sena sempena nama pokok tersebut.